BANGUNAN Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang. FOTO Rosela Ismail
BANGUNAN Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang. FOTO Rosela Ismail
Amir Abd Hamid


UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) meneruskan rentak kecemerlangan dalam penarafan antarabangsa apabila menjadi universiti pertama di Malaysia tersenarai tempat ke-10 terbaik dunia.

Universiti berkenaan berada dalam ranking ke-10 QS 2021 World University Rankings 50 Under 50 berbanding tangga ke-12 tahun lalu.

Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Aini Ideris berkata, pencapaian membanggakan itu membuktikan universiti muda seperti UPM mampu meraih kecemerlangan, reputasi dan penjenamaan imej setanding dengan universiti lain yang lebih awal ditubuhkan.

"Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UPM naik dalam hampir semua indikator yang dinilai dengan indikator pelajar antarabangsa meraih markah tertinggi.

"Ini selari dengan usaha UPM dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program pengantarabangsaan.

"Penilaian QS Top 50 under 50 ini menggunakan enam indikator yang sama seperti penilaian QS World University Ranking iaitu Academic Reputation (40%), Employer Reputation (10%), Student to Faculty Ratio (20%), Citations per Faculty (20%), International Faculty (5%) dan International Students (5%)," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media hari ini.

Dr Aini berkata, kejayaan demi kejayaan yang direkodkan oleh UPM dalam penilaian badan antarabangsa seumpamanya membuktikan UPM berada pada landasan yang betul dalam menyediakan ekosistem pendidikan tinggi terbaik kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.

"Ia juga selari dengan dengan visi UPM iaitu, menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 4:52 PM