WAN Hasnah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi  daripada  pertuduhan memiliki dadah. FOTO Rozainah Zakaria
WAN Hasnah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan memiliki dadah. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply


“Ini hadiah Hari Raya Haji untuk kamu,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Zainal Azman Ab Aziz terhadap Wan Hasnah Wan Salleh, 32, yang dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 96.88 gram.

Zainal Azman membuat keputusan itu selepas rakan kepada Wan Hasnah, Mohd Hakimin Kamarudin, 25, mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak timbalan pendakwa raya daripada kesalahan mengedar kepada memiliki dadah hari ini.

Bagi kesalahan itu, Mohd Hakimin yang turut terlepas daripada hukuman gantung dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan manakala Wan Hasnah dilepaskan dan dibebaskan selepas timbalan pendakwa raya menarik balik pertuduhan terhadapnya.

Keputusan itu dibuat Zainal Azman selepas Mohd Hakimin mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 96.88 gram di dalam sebuah kereta Perodua Alza di tepi jalan Kilometer 0.4 Plaza Tol Chukai, Kemaman, jam 6.30 petang pada 28 Julai 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, dua tertuduh menghadapi pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B (1) (a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Faizah Nor Randeran manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Ghazali Ismail dan Tetuan Alda Shukri Khairi & Associates.

Terdahulu, Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi daripada faktor peribadi tertuduh.

“Mahkamah sudah menjatuhkan banyak hukuman berkaitan dadah namun masih ramai yang terjerumus dan kes penyalahgunaan dadah terus berulang.

“Dunia ini membuat pilihan dan pekerjaan. Kita yang memilih dan biarlah kerja itu halal dunia dan akhirat.

“Kamu sanggup memperjudikan nyawa memilih jalan ini dan jika kamu kena tangkap, kamu kena reda dengan keputusan mahkamah, jadi saya harap kamu insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Foto dan video Rozainah Zakaria

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 5:13 PM