Hamid (tengah) memantau persiapan terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, sempena pembukaan semula sekolah Pasca Covid-19 esok. FOTO Ghazali Kori
Hamid (tengah) memantau persiapan terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, sempena pembukaan semula sekolah Pasca Covid-19 esok. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


"GURU sudah bersedia menerima kemasukan semula 190 pelajar Tingkatan Lima," ujar Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus, Abu Bakar RA Mohd Abdullah.

Beliau berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum pembukaan sekolah sudah dipatuhi termasuk penataran kepada guru, ibu bapa dan murid melalui kaedah dalam talian dan edaran dilakukan guru kelas.

Menurutnya, peralatan seperti alat pemeriksaan suhu badan, pelitup muka, pensanitasi tangan serta label di tempat tertentu, poster berkaitan Covid-19 dan penyusunan meja dalam kelas dengan mengambil kira penjarakan sosial disediakan dengan baik dan sempurna termasuk bilik isolasi.

"Harapan saya agar pelajar bersedia datang ke sekolah dengan normal baharu selain perlu bersemangat untuk kembali belajar selepas tiga bulan meninggalkan alam persekolahan secara bersemuka dan belajar di rumah melalui kaedah pembelajaran dalam talian.

"Selain itu, pada setiap masa dan tempat, pelajar akan dipantau bermula mereka sampai di pintu pagar sekolah hinggalah mereka pulang.

"Namun saya percaya pelajar mampu mematuhi SOP ditetapkan apatah lagi mereka sudah diberi penerangan tentang bahayanya wabak Covid-19 dan dibantu jawatankuasa dalam kalangan guru di sekolah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus, Hamid Yahya berkata, 16 sekolah menengah di daerah itu sudah bersedia untuk menerima pelajar bagi memulakan sesi persekolahan, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 9:53 PM