Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: "Gembira dalam takut," luah pelajar Tingkatan Enam Atas Sekolah Menengah St Micheal, Nur Irdina Shamsul Huda, 19, yang memulakan sesi persekolahan hari ini selepas hampir enam bulan sekolah ditutup berikutan penularan Covid-19.

Nur Irdina berkata, hatinya gembira apabila kembali 'bersemangat' untuk belajar di sekolah berbanding keadaan suram ketika mengikuti kelas secara dalam talian sebelum ini.

Katanya, biarpun sudah lengkap divaksinasi, tetapi kerisauan tetap ada apabila memikirkan rakan yang belum divaksin selain kebarangkalian rakan sekolahnya mengunjungi tempat berisiko tinggi.

"Mulanya memang saya rasa tidak bersedia sebab lama tidak ke sekolah, tetapi bila sudah sampai ke sekolah, saya rasa kembali bersemangat sebab dapat 'vibe' (perasaan) suasana baharu.

"Bagaimanapun, saya kembali yakin apabila mendapati persiapan prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan pihak sekolah secara sistematik termasuk melabel tempat duduk," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, di sini.

KELIHATAN pelajar memeriksa suhu badan ketika memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di sekolah. FOTO Sharul Hafiz Zam
KELIHATAN pelajar memeriksa suhu badan ketika memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di sekolah. FOTO Sharul Hafiz Zam

Rakannya Nurul Amira Rizahuddin, 19, berkata selepas beberapa bulan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dia kini menarik nafas lega apabila dapat belajar secara bersemuka.

Menurutnya, mereka akan patuh kepada SOP ditetapkan sepanjang berada di sekolah.

Katanya, sepanjang mengikuti PdPR di rumah, perasaannya disifatkan 'kosong' apabila terpaksa belajar berseorangan sekali gus membuatkan dirinya ada kala kurang faham mengenai sesuatu topik.

"Memang sudah lama saya menunggu untuk datang belajar di sekolah kerana hanya sempat 'merasa' belajar sekejap untuk semester pertama di sekolah sebelum disusuli kelas dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 3:11 PM