Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KUALA LUMPUR: Harga tinggi ditetapkan pekebun di peringkat dusun menyebabkan harga durian melambung sekali ganda tahun ini.

Pemborong dari Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Hanif berkata, ia ditambah lagi dengan kemunculan ramai peniaga durian baharu yang mula menceburi bidang itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Peniaga baharu ini 'menyerbu' dusun untuk membeli durian tanpa melalui pemborong yang lebih arif dengan harga durian di peringkat dusun.

"Ini menyebabkan pekebun mengambil kesempatan meletakkan harga tinggi kepada peniaga baharu.

"Secara tidak langsung, ia mengakibatkan harga durian menjadi lebih mahal apabila dijual kepada pembeli," katanya.

Menurut Hanif, empat tahun lalu, harga borong durian IOI gred B dibeli daripada pekebun ialah RM5 sekilogram, tetapi tahun ini meningkat kepada RM11 sekilogram.

"Saya jual kepada peniaga pula antara harga RM17 hingga 19 sekilogram.

"Keuntungan ini untuk menampung kos menggantikan buah rosak yang dibeli," katanya.

Hanif berkata, pada masa ini durian paling mahal dalam pasaran ialah durian duri hitam yang mencecah RM70 sekilogram dan dijual di Lembah Klang.

"Harga durian ini mahal kerana ia terhad memandangkan pokok durian duri hitam masih baru ditanam oleh pekebun dan pengeluarannya tidak banyak.

"Harga Musang King lebih murah kerana pengeluarannya semakin banyak dengan harga dalam pasaran iaitu RM45 sekilogram bagi gred A," katanya.

Menurutnya, harga durian dijangka menurun apabila musim durian di Pahang bermula tidak lama lagi.

"Sekarang musim durian hanya di Johor dan Pulau Pinang. Akan datang mungkin ada lambakan durian dan harganya juga lebih murah. Sememangnya itu yang dinantikan peminat raja buah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 6:01 AM