PARANG yang digunakan suspek. FOTO ihsan polis
PARANG yang digunakan suspek. FOTO ihsan polis
Norsyazwani Nasri


PEMANDU penghantar barang parah ditetak rakan sekerja kerana tidak puas hati terhadap pembahagian kerja di tepi jalan Kampung Belading, Limbang, semalam.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam itu, mangsa, Khairil Azwan Abdullah, 22, ditetak di kedua belah kaki dan mangsa patah tulang kaki akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri selepas diserang suspek berusia 32 tahun bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihak menerima laporan selepas dimaklumkan pihak Hospital Limbang jam 9.30 pagi tadi.

"Punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati apabila majikan memberikan peluang pekerjaan kepada mangsa lebih banyak.

"Ini kerana suspek mempunyai masalah sukar dihubungi apabila diperlukan untuk menghantar barang dari Miri ke Limbang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bertindak dari laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang menahan suspek dan merampas sebilah parang serta sarung kayu dalam Suzuki Vitara miliknya di hutan Kampung Belading Tedungan, jam 3 petang tadi.

"Sebilah parang berserta sarung kayu sepanjang 57 sentimeter ditemui di bawah kerusi penumpang hadapan Suzuki Vitara.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku berada di bawah pengaruh alkohol menetak kedua-dua belah kaki mangsa," katanya.

Beliau berkata, permohonan reman dilakukan esok untuk siasatan lanjut.

"Mangsa dalam keadaan stabil dipindahkan ke Hospital Miri untuk menerima rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 10:41 PM