Mohd Roji Kawi


AKIBAT tidak berpuas hati dengan markah Sasaran Kerja Tahunan (SKT), lelaki cuba menyerang penyelia wanita dengan parang di Limbang, Khamis lalu.

Pada kejadian 2.15 petang di sebuah agensi kerajaan itu, tiada individu cedera selepas suspek dihalang seorang kakitangan lelaki pejabat berkenaan.

Suspek berusia 31 tahun dan bekerja di agensi terbabit kemudian meninggalkan pejabat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan datang ke pejabat itu dalam keadaan marah.

Beliau berkata, suspek dipercayai menghunus parang itu kepada penyelianya, wanita berusia 34 tahun.

“Kejadian turut disaksikan beberapa kakitangan lain.

“Mujur seorang lelaki yang juga kakitangan pejabat itu berjaya menghalang suspek sebelum suspek meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Bukhori berkata, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan markah SKT 80 peratus, berbanding 87 peratus, sebelum ini.

“Siasatan juga mendapati suspek seorang yang panas baran yang sukar menerima teguran pegawai atasan.

“Dia bertugas di bawah seliaan wanita itu sejak dua tahun lalu,” katanya.

Mohd Bukhori berkata, sebelum ini, kedua-duanya pernah berselisih faham tetapi kes itu sudah selesai.

Katanya, bimbang akan keselamatan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Limbang pagi semalam.

“Susulan kejadian, suspek ditahn di di Kampung Patiambun, Limbang, jam 12.35 tengah hari, semalam.

“Polis turut merampas sebilah parang berukuran 42.5 sentimeter berserta sarung kayu berwarna coklat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 7:31 PM