Mohd Rizal Abdullah

Miri: Lelaki berusia 40 tahun cedera ditetak hanya disebabkan tidak mahu memakan hidangan daging biawak dalam kejadian di rumah panjang di Batu Niah pagi tadi.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa cedera di kepala akibat ditetak menggunakan parang oleh seorang lelaki yang juga penghuni rumah panjang berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian hanya disebabkan mangsa menolak hidangan daging biawak yang disediakan suspek.

"Suspek berang lalu menetak mangsa sebelum mangsa melarikan diri lalu membuat laporan di Balai Polis Batu Niah," katanya.

Katanya, suspek berusia 32 tahun itu kemudiannya ditahan polis pada 5.30 petang dan sebilah parang yang digunakan untuk menetak mangsa dirampas.

"Kes akan disiasat mengikut 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 1:23 AM