PELBAGAI jenis rokok putih dan kretek yang dirampas. FOTO Melvin Joni
PELBAGAI jenis rokok putih dan kretek yang dirampas. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas 3,908 karton rokok seludup dalam serbuan Op Libas ke atas sebuah rumah, di bandar raya ini, hari ini.

Komander PGA Briged Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, tangkapan itu dilakukan pasukan Unit Risik Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak, kira-kira 8 pagi hari ini.

"Pasukan Unit Risik Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak mengekori kereta Toyota Unser hingga ke sebuah rumah di sekitar bandar raya ini yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok belum lulus cukai Kastam.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 2,858 karton rokok putih dan 1,050 karton rokok kretek yang dipercayai diseludup dan pasukan serbuan turut merampas Toyota Unser terbabit yang disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM626,460 termasuk cukai.

"Pasukan serbuan turut berjaya menahan lelaki tempatan yang juga penjaga rumah berkenaan.

"Kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 8:20 PM