FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

MAHKAMAH Sesyen di Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga bulan dan denda RM10,000 kepada tiga lelaki termasuk dua warga Pakistan selepas mereka mengaku bersalah menyogok pegawai polis, minggu lalu.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib menjatuhkan hukuman itu ke atas Usein Mohd Nazeer, 23, dari Puchong, Selangor dan dua warga Pakistan, Muhammad Iqbal Manzoor, 42, serta Qasim Ali, 35, kedua-duanya dari Serdang, Selangor.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing dipenjara tiga bulan lagi, jika gagal membayar denda.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa memberi rasuah RM2,000 kepada Inspektor G Saravanaa pada 12.15 tengah hari, 9 Jun lalu di bilik pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, dekat Kuantan.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk melepaskan dua anak Muhammad Iqbal yang ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja dan merentas negeri tanpa kebenaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Berdasarkan fakta kes, Muhammad Iqbal didakwa telah memasukkan wang ke dalam akaun bank Usein pada 8 Jun lalu, sehari sebelum Usein dan Qasim bertolak ke IPD Bera untuk bertemu Saravanaa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:19 PM