KEADAAN struktur sementara di lokasi pembinaan projek LRT3 yang runtuh. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN struktur sementara di lokasi pembinaan projek LRT3 yang runtuh. FOTO Ihsan Pembaca.
Ruwaida Md Zain


KEGAGALAN struktur kerangka keluli ketika kerja menuang konkrit dalam projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Batu 2, Jalan Meru, Klang menyebabkan struktur itu membengkok.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

"Berdasarkan maklumat daripada pihak yang mewakili pemaju, mereka memaklumkan insiden berlaku kemungkinan disebabkan kegagalan struktur kerangka keluli ketika kerja-kerja menuang konkrit dijalankan.

"Tiada kemalangan jiwa dan tiada kerosakan harta benda awam berlaku, hanya kerosakan peralatan pembinaan sahaja dilaporkan.

"Jumlah kerugian juga masih dalam disiasat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Klang, hari ini.

Sehubungan itu, Nurulhuda berkata, beberapa lencongan dan penutupan jalan bagi kerja pembersihan di lokasi terbabit dibuat selama lima hari bermula hari ini sehingga 21 Jun depan.

"Jalan Meru ditutup dari arah Pusat Bandar ke Meru. Orang awam boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Meru - Jalan Sentosa 41 - Jalan Meru.

"Jalan Kedah (susur ke Jalan Meru) juga ditutup, orang awam boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kedah - Jalan Meru (arah ke Pusat Bandar Klang)," katanya.

Mengulas mengenai kronologi kejadian, beliau berkata, kejadian berlaku pada 5.15 pagi, selepas pegawai keselamatan di tapak projek memaklumkan struktur kerangka keluli gagal sehingga membengkok.

"Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) tapak projek ke lokasi kejadian dan membuat kawalan lalu lintas serta melakukan pemeriksaan dari luar kawasan bagi memastikan tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Pihak pemaju kemudian menghubungi trafik IPD Klang Utara pada 6 pagi bagi mengawal lalu lintas yang agak sesak ketika itu," katanya.

Berita berkaitan:

  • Kerangka besi runtuh [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 5:00 PM