Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

SEBANYAK 52 kompaun dikeluarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Rabu lalu, terhadap pemilik premis yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah premis yang beroperasi melebihi had waktu dibenarkan.

Beliau berkata, pihaknya telah menegaskan kepada pemilik-pemilik premis bahawa operasi perlu ditutup pada 12 tengah malam, namun masih ada segelintir yang berdegil dan beroperasi sehingga 1.00 atau 2.00 pagi.

"Oleh yang demikian, kami kompaun mereka. Begitu juga dengan premis hiburan yang masih lagi tegar melaksanakan operasi menghiburkan pelanggan seperti di pusat karaoke dan lain-lain pusat hiburan.

"Pusat-pusat hiburan yang beroperasi turut dikompaun kerana ketika ini mereka masih tidak dibenarkan beroperasi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran MyPelawat di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 12:53 PM