FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Degil. Itu dapat dikatakan kepada pemilik pusat hiburan yang tetap beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun negara kini sedang 'berperang' dengan Covid-19.

Walaupun kerajaan belum membenarkan pusat hiburan beroperasi bagi mengekang penularan Covid-19, namun masih ada pemilik yang ingkar dan membukanya secara bersembunyi.

Malah, kedegilan mereka ini dibimbangi akan mencetus kluster pusat hiburan seterusnya merencatkan usaha kerajaan menangani pandemik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, sejak 18 Mac tahun lalu sehingga Sabtu lalu sebanyak 1,335 serbuan dengan 5,986 tangkapan.

Menurutnya, bagi tempoh PKP 1.0 yang bermula 18 Mac hingga 31 Disember 2020 sebanyak 845 serbuan dengan 4,324 tangkapan dilakukan.

"Bagi PKP 2.0 bermula 1 Januari tahun ini hingga 31 Mac lalu pula sebanyak 442 serbuan dilakukan ke atas pusat hiburan di mana 1,382 tangkapan dilakukan.

"Sementara bagi PKP 3.0 bermula 12 Mei lalu hingga Sabtu lalu sebanyak 48 serbuan dilakukan dengan 280 tangkapan dilakukan," katanya kepada Harian Metro.

Abdul Jalil berkata, daripada serbuan itu, sebanyak 13,753 kompaun dikeluarkan atas kesalahan ingkar arahan PKP.

"Pecahan kompaun terbabit ketika PKP 1.0 sebanyak 7,616 kompaun dikeluarkan.

"PKP 2.0 pula sebanyak 5,972 kompaun dikeluarkan sementara PKP 3.0 sebanyak 165 kompaun dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata, masih terdapat juga segelintir pengusaha premis hiburan yang menjalankan operasi hiburan KTV secara sembunyi atau curi-curi.

"Modus operandi premis hiburan ini adalah dengan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja yang untuk masuk ke dalam premis.

"Hanya sekitar 10 ke 20 orang pelanggan sahaja bagi satu-satu masa dibenarkan masuk," katanya.

Bagaimanapun katanya, hasil serbuan dan tindakan oleh penguat kuasa berjaya mengurangkan jumlah premis pusat hiburan tegar yang masih degil untuk beroperasi ini.

"Pihak berkuasa sentiasa menjalankan risikan dan pemantauan berterusan bagi mengekang aktiviti ini dari berterusan di dalam tempoh PKP ini sekali gus menangani masalah penularan jangkitan Covid-19 melalui kluster pusat hiburan.

"Maklumat daripada sumber awam juga dikumpul dan di siasat dalam proses menangani masalah pusat hiburan yang masih beroperasi secara sembunyi di dalam tempoh PKP ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 12:12 PM