GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Senarai hitam dan batal lesen pengusaha pusat hiburan yang didapati masih ingkar apabila tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Datuk Halim Ishak berkata, kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih tegas dalam mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit.

Menurutnya, ini berikutan mereka masih tidak dibenarkan beroperasi sejak pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu.

"Pihak berkuasa (PBT) jangan takut gunakan sebaik mungkin Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dalam menguatkuasakan pematuhan SOP.

"Jika kerajaan sudah keluarkan arahan kompaun maksimum RM10,000 kepada orang ramai yang ingkar SOP, maka tiba masanya pengusaha pusat hiburan juga diambil tindakan lebih tegas termasuk menaikkan denda lebih tinggi.

"Selain denda tinggi, batalkan lesen dan senarai hitam pengusaha pusat hiburan yang ambil ringan isu ini supaya mereka tahu kerajaan benar-benar serius menguatkuasakan Akta 342 ini dalam membendung penularan Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas pelanggaran SOP pusat hiburan yang masih tinggi setiap hari walaupun masih dalam senarai larangan beroperasi.

Jika perlu katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu campur tangan jika wujud kelompongan dalam melindungi kegiatan pengusaha ini.

"Apa yang membimbangkan kita bagaimana pematuhan SOP termasuk penjarakan fizikal dalam pusat hiburan itu diamalkan dan adakah pekerja terutama warga asing benar-benar sudah disaring majikan mereka?

"Saya memandang serius isu ini kerana kita pun hairan mengapa pusat-pusat hiburan ini masih kebal beroperasi adakah memang ada 'tangan ghaib' melindungi mereka ini?

"Sekarang tidak ada masa lagi untuk pilih kasih kerana Covid-19 ini tidak mengenal sesiapa, jika ada kelompongan kita minta SPRM ambil tindakan tegas," katanya.

Berkuat kuasa 19 Februari lalu, kerajaan membenarkan pembukaan semula operasi tarikan pelancongan seperti zoo, muzium, taman tema, pusat hiburan keluarga, pentas persembahan selain kenduri dan majlis perkahwinan di kawasan PKP Pemulihan dan PKP Bersyarat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 3:04 PM