FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengedar dadah dalam operasi Op Tapis Khas di Felda Palong Empat, Jempol, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, suspek berusia 41 tahun ketika itu didapati sedang duduk di atas motosikal di luar sebuah rumah sambil menunggu kehadiran penagih membeli dadah.

Katanya, terkejut dengan kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri namun dia berjaya ditahan.

"Suspek memberi pelbagai alasan bagi mengelak ditangkap termasuk tidak terbabit dengan dadah.

"Bagaimanapun pemeriksaan ke atas suspek menemui empat paket dadah jenis heroin seberat 40.30 gram dan tiga paket dadah jenis syabu seberat 7.20 gram," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairiel berkata, siasatan mendapati kesemua dadah yang dirampas bernilai RM2,735 itu adalah bagi pasaran kawasan sekitar Felda Palong.

Katanya, suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala motosikal jenis Honda Dash digunakan suspek turut disita kerana dipercayai digunakan untuk mengedar dadah.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 5:06 PM