DADAH yang dirampas. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
DADAH yang dirampas. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG tokan dadah sanggup berurusan seawal 6 pagi bagi menunggu pelanggannya di dalam kebun kelapa sawit di Serting Tengah, Jempol.

Namun, kegiatannya itu berjaya dipatahkan oleh pasukan polis dalam Op Tapis apabila ditahan pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, sebelum tangkapan dibuat, tokan berusia 40 tahun dilihat duduk di atas motosikal miliknya di tepi kebun sawit berkenaan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran polis suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap.

"Suspek memberi alasan mahu berjumpa rakannya disitu dan menafikan menjadi tokan.

"Bagaimanapun hasil pemeriksaan, polis menjumpai tiga paket plastik berisi dadah jenis Heroin seberat 34.90 gram dan satu paket plastik dadah jenis Syabu seberat 1.03 gram di dalam beg pinggang dipakai suspek," katanya dalam kenyataan.

Mohd Khairiel berkata motosikal Yamaha RXZ dan sejumlah wang tunai turut dirampas polis.

"Suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 Julai depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:10 PM