WEE Ka Siong (tengah) ketika berkunjung ke Ibu Pejabat Jabatan Laut Malaysia (JLM) di Klang. FOTO FB WEE KA SIONG
WEE Ka Siong (tengah) ketika berkunjung ke Ibu Pejabat Jabatan Laut Malaysia (JLM) di Klang. FOTO FB WEE KA SIONG
Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Pengangkutan menerima laporan lebih 1,000 anak kapal tempatan dan warga asing terkandas atas kapal sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau menerima laporan itu dalam taklimat di Ibu Pejabat Jabatan Laut Malaysia (JLM) di Klang, hari ini.

"Pagi ini saya ke Ibu Pejabat JLM di Klang dan mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Datuk Baharin Abdul Hamid bersama Timbalan Ketua Pengarah 1 Perancangannya Datuk Hazman Hussein dan kepimpinan tertinggi JLM.

"Lebih 1,000 anak kapal tempatan dan warga asing terkandas di atas kapal semenjak PKP fasa satu dikuatkuasakan.

"Mereka tidak dapat pulang ke kediaman masing-masing walaupun tempoh kontrak kerja mereka sudah tamat," katanya dalam status di Facebook (FB) beliau hari ini.

Justeru, katanya, demi menjaga kebajikan dan kesihatan mental anak kapal itu, JLM sudah mengeluarkan Notis Perkapalan Malaysia supaya anak kapal yang terkandas dibenarkan turun kapal (sign-off) secara berperingkat dan mengikut SOP.

Menurutnya, kerjasama positif sentiasa diperolehi bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Malaysia akan membenarkan pertukaran anak kapal warganegara asing secara sepenuhnya iaitu sign-on dan sign-off.

"SOP bagi membolehkan sign-on anak kapal warganegara asing kini sedang dengan kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan termasuk JLM.

"Setelah ianya diperkemaskan, JLM akan mengeluarkan satu notis khusus mengenai perkara itu," katanya.

Wee berkata, dalam aspek pembukaan perkhidmatan Institut Latihan Maritim, SOP yang ketat sudah dikeluarkan oleh JLM pada 15 Jun lalu.

Beliau berkata, mana-mana institut yang mematuhi SOP itu dibenarkan membuka sepenuhnya kursus pelaut secara fizikal dan bersemuka.

Mengulas lanjut, katanya, biarpun terkesan dengan penularan pandemik Covid-19, diharapkan JLM terus cakna seterusnya mencapai visi Peneraju Sistem Pengangkutan Maritim bersandarkan kepada moto, 'Safer Ships, Secure Ports, Cleaner Seas.'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 5:01 PM