GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu lagi kluster baharu iaitu Kluster MV Glen yang sudah menjangkiti tiga individu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu membabitkan seorang wanita iaitu isteri kepada kes positif (kes ke-9,332) yang dilaporkan pada 30 Ogos lalu.

"Beliau dikenal pasti susulan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat.

"Sehingga hari ini, seramai 58 individu disaring dan daripada jumlah itu, tiga kes dikesan positif Covid-19 manakala 16 individu negatif dan 39 individu masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, saringan 'sign-on' dan 'sign-off' adalah penting sebagai langkah memantau kawalan sempadan negara bagi mengelak jangkitan Covid-19 dari luar negara menular masuk ke dalam negara.

Katanya, KKM bersama Jabatan Laut Malaysia mengambil pelbagai langkah bagi memantau dan memperketatkan kawalan sempadan negara di perairan.

"Pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan dibangunkan bagi golongan pelaut yang memasuki Malaysia melalui Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

"Ini termasuk proses pertukaran anak kapal bermula dari sign-on ke kapal sehingga sign-off dari kapal, dan proses kuarantin wajib di stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan," katanya.

Katanya, proses itu akan terus dipantau dan ditambah baik bagi memastikan kelancaran pelaksanaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 6:05 PM