Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti dua kluster baharu pandemik Covid-19 di negara ini iaitu Kluster MV Glen di Selangor dan Telaga di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster MV Glen dikenal pasti di sebuah kapal di Pelabuhan Klang.

"Kes indeks kluster itu membabitkan kes ke-9286 yang dilaporkan positif pada 25 Ogos, beliau adalah seorang krew kapal dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk diberi rawatan.

"Saringan Covid-19 dijalankan dan sehingga hari ini, seramai lapan individu sudah disaring dalam kluster ini.

"Daripada jumlah itu, dua kes dikesan positif Covid-19 dan kes indeks bagi kluster ini adalah kes import yang membabitkan seorang bukan warganegara manakala kes kedua adalah kes tempatan yang membabitkan warganegara Malaysia yang merupakan ejen dilantik oleh syarikat perkapalan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih dijalankan.

"Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar sudah dijalankan di kapal tersebut. Punca jangkitannya masih dalam siasatan.

"Saringan kesihatan sign-on dan sign-off adalah penting kerana ini adalah satu kawalan sempadan antarabangsa yang dijalankan bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpontensi dijangkiti Covid-19 ke dalam negara," katanya.

Menurutnya, kluster baharu kedua yang dikesan adalah di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

"Kes indeks ini adalah kontak rapat kepada kes indeks yang dikesan positif pada 24 Ogos lalu (kes ke-9284).

"Ia adalah kes tidak bergejala dan sudah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diberi rawatan.

"Kedua-dua kes ini adalah petugas kesihatan di hospital berkenaan namun tugasan tidak membabitkan jagaan kes yang disahkan positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini seramai 374 individu sudah disaring membabitkan ahli keluarga, kakitangan hospital dan lain-lain.

"Daripada jumlah itu, dua kes dikesan positif dan 372 individu adalah negatif.

"Sebagai langkah kawalan, lebih banyak saringan tertumpu di hospital akan dijalankan dan langkah pencegahan serta kawalan jangkitan seperti pembersihan dan proses nyah kuman juga sudah dijalankan.

"Perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah tidak terjejas dan tetap berjalan seperti biasa.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan namun besar kemungkinan ia disyaki berpunca dalam kalangan komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 6:24 PM