CHIN Ching Chung (kiri) ketika mengadakan pemantauan harga di Pasar Awam Batu Lancang. FOTO Zuhainy Zulkiffli
CHIN Ching Chung (kiri) ketika mengadakan pemantauan harga di Pasar Awam Batu Lancang. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

AKIBAT menaikkan harga ayam standard, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan 16 notis tunjuk sebab terhadap premis runcit dan pemborong di Georgetown.

Ia berikutan terdapat aduan bahawa harga ayam standard dijual antara RM2 hingga RM3 lebih tinggi berbanding RM7.50 sekilogram seperti yang ditetapkan sejak Mei lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Pulau Pinang Chin Ching Chung berkata, sebanyak 11 notis dikeluarkan kepada premis runcit dan lima lagi terhadap pemborong.

"Didapati ayam standard dijual pada harga antara RM10 hingga RM11, juga lebih tinggi daripada yang ditetapkan ketika Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

"Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) sekiranya gagal tunjuk sebab mengenai harga yang tidak munasabah itu," katanya ketika pemantauan harga di Pasar Awam Batu Lanchang, Georgetown hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, Ridzuan Mat Isa.

Pemeriksaan juga mendapati tiada kenaikan di pasar awam itu.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KPDNHEP sudah memeriksa sebanyak 1,791 premis menjual ayam.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Chin berkata daripada 34 pemeriksaan, sebanyak 19 notis tunjuk sebab sudah dikeluarkan terhadap premis gunting rambut dan pendandan berikutan mengenakan kadar tambahan kepada pelanggan.

Katanya, caj tambahan itu didakwa berikutan peningkatan kos operasi yang terpaksa ditanggung seperti sarung tangan dan pakaian pelindungan diri pakai buang yang disyaratkan dalam prosedur operasi standard (SOP)

"Terdapat dua kategori premis gunting rambut iaitu 'high-end' yang mengenakan caj antara RM17 hingga RM52 bagi perkhidmatan mereka dan 'low-end' iaitu RM10.

"Notis dikeluarkan terhadap premis 'low-end' kerana didapati mengenakan caj tambahan sebanyak RM2 hingga RM3 yang didakwa sebagai kos operasi mengikut SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 7:26 PM