Foto hiasan
Foto hiasan
Nur Izzati Mohamad

KEBANYAKAN premis dandanan dan gunting rambut di Pulau Pinang dikesan menaikkan harga antara RM2 hingga RM3 terhadap perkhidmatan yang ditawarkan mereka.

Perkara itu dikesan melalui pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang diadakan sejak premis itu dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, kenaikan caj itu disebabkan peningkatan kos operasi yang terpaksa ditanggung seperti sarung tangan dan pakaian pelindungan diri pakai buang yang disyaratkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"KPDNHEP tidak mengawal caj bagi perkhidmatan dandanan dan gunting rambut tetapi peniaga wajib mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Antara undang-undang yang perlu dipatuhi adalah memastikan penandaan caj perkhidmatan yang disediakan, memastikan tiada kenaikan caj perkhidmatan berlaku dengan niat mengambil keuntungan yang tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan pemeriksaan ke atas kedai gunting rambut dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah pasar raya Bukit Mertajam hari ini.

Menurutnya, sepanjang pemeriksaan yang diadakan pihaknya mengeluarkan 15 notis pengesahan maklumat perkhidmatan dan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Notis itu diberikan kepada pemilik premis gunting rambut untuk mereka mengemukakan apa perkhidmatan yang ditawarkan untuk melihat sama ada harga yang diletakkan bersesuaian atau tidak," katanya.

Sehingga kini, 34 premis dandanan dan gunting rambut di negeri itu sudah diperiksa penguat kuasa KPDNHEP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 4:51 PM