USAHAWAN kek lapis, Zubaidah mewakili semua penerima pembiayaan Skim Pemulihan Perniagaan Mikro COVID-19 Sarawak daripada Wan Junaidi. FOTO Mohd Roji Kawi
USAHAWAN kek lapis, Zubaidah mewakili semua penerima pembiayaan Skim Pemulihan Perniagaan Mikro COVID-19 Sarawak daripada Wan Junaidi. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mewujudkan aplikasi 'rider' baharu bagi memudahkan pengedaran produk pertanian dan perikanan khususnya dari luar bandar kepada pengguna dan pusat jualan.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usaha itu adalah bagi melengkapi sistem penghantaran barangan selaras dengan perkembangan perniagaan cara baharu.

Menurutnya, agensi kementeriannya dan SME Corp Malaysia akan membangunkan aplikasi itu dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Kita merancang untuk membentuk pasukan 'rider' kita sendiri supaya produk pertanian dan perikanan dapat dihantar dengan cepat kepada pelanggan selain menghantarnya ke pusat jualan.

"Sekarang ini, memang ada individu yang bertindak sebagai penghantar produk pertanian itu, tetapi kita mahu meningkatkan lagi perkhidmatan dengan memanfaatkan teknologi," katanya ketika sidang media selepas perjumpaan dengan ketua agensi di bawah MEDAC di Kuching, hari ini.

Katanya lagi, aplikasi 'rider' membolehkan penghantaran produk pertanian dan perikanan termasuk makanan.

Sementara itu katanya, satu lagi agensi dibawah MEDAC iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan menyediakan pembiayaan kepada 'rider' untuk membeli kenderaan untuk menyertai perkhidmatan itu nanti.

Wan Junaidi berkata Bank Rakyat akan menyediakan perkhidmatan bank bergerak di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan bank di luar bandar negeri ini.

"Bank Rakyat membuat kajian dan penelitian kawasan untuk diadakan perkhidmatan itu berlandaskan cadangan Pengarah Bank Negara cawangan Sarawak.

"Kerajaan Sarawak pula membantu menampung pembiayaan untuk Bank Rakyat mendapatkan bas sesuai untuk digunakan bagi menyediakan perkhidmatan bank bergerak itu," katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan TEKUN Nasional membiayai seramai 28,664 usahawan dengan peruntukan berjumlah RM423.6 juta, tahun lalu.

"Dalam tempoh Januari hingga 10 Jun ini pula, TEKUN Nasional membiayai seramai 27,644 usahawan dengan pembiayaan berjumlah RM257.9 juta.

"Daripada jumlah itu 6,572 dengan nilai RM95.7 juta adalah pinjaman TEKUN biasa manakala skim Pemulihan Perniagaan Mikra Covid-19 (CBRM) pula membabitkan 21,072 usahawan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM162.9 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 3:52 PM