Wan Junaidi bersembang dengan Tengku Zafrul. FOTO Facebook Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi bersembang dengan Tengku Zafrul. FOTO Facebook Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) memperkenalkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi yang menggariskan enam strategi utama bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan perniagaan usahawan dalam tempoh segera dan memastikan usahawan kekal berdaya saing.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelan itu mengandungi 30 program yang akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka pendek bermula Mei hingga Disember ini, manakala jangka sederhana bermula Januari hingga Mei tahun hadapan.

"Seramai lebih 20,000 usahawan yang merangkumi usahawan mikro, perusahaan kecil sederhana (PKS), koperasi dan sektor informal akan menerima manfaat daripada pelaksanaan pelan itu.

"Medac juga membawa 19 program dan inisiatif baharu kepada Kementerian Kewangan antaranya permohonan penambahan dana bagi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan agensi di bawah Medac.

"Penambahan dana bagi TEKUN Nasional perlu dilaksanakan berikutan Medac menerima jumlah permohonan pembiayaan yang banyak daripada usahawan PKS di seluruh negara," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, Wan Junaidi berkata, beliau mengadakan perbincangan bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk melonjakkan semula operasi perniagaan di negara ini selepas kerajaan membenarkan sektor ekonomi beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain itu, beliau berkata, Medac juga memulakan kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi melaksanakan program keusahawanan belia terutama di kalangan pelajar, penuntut dan belia yang kehilangan pekerjaan akibat wabak Covid-19.

"Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah program keusahawanan dalam bidang pertanian yang memanfaatkan teknologi terkini seperti fertigasi dan program 'Mobilepreneur' yang memberi peluang pekerjaan kepada belia.

"Pelaksanaan program ini akan menggunakan pembiayaan disediakan melalui agensi-agensi seperti TEKUN Nasional," katanya.

Justeru, katanya, pelaksanaan inisiatif baharu itu diharap dapat menggerakkan semula aktiviti perniagaan PKS dan mikro untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem ekonomi negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 10:58 PM