ZAINAL Abidin membuat proses ‘nisey kerek' atau gula melaka yang dibentuk dalam buluh dalam keadaan masih panas dari kawah  ketika ditemui di bengkel pembuatan di rumahnya di Kampung Kelong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZAINAL Abidin membuat proses ‘nisey kerek' atau gula melaka yang dibentuk dalam buluh dalam keadaan masih panas dari kawah ketika ditemui di bengkel pembuatan di rumahnya di Kampung Kelong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

'NISEY kerek' atau gula melaka dibentuk dalam buluh agak berbeza pembuatannya berbanding kelaziman iaitu menggunakan daun mengkuang.

Buluh jenis dinding dipotong dalam ukuran kira-kira 2.5 sentimeter untuk dijadikan acuan membentuk 'kerek' atau kepingan gula melaka yang dicurahkan dalam keadaan masih panas dari kawah.

Pengusahanya, Zainal Abidin Deraman, 65, berkata inisiatif menggunakan kerek jenis buluh dinding itu bagi memudahkan kerjanya dan tidak perlu mencari daun mengkuang untuk membentuk menjadi kerek pakai buang.

"Lagipun apabila menggunakan buluh sebegini, bau wanginya boleh dikekalkan selain memudahkan proses tidak perlu membentuk 'kerek' menggunakan daun mengkuang.

"Zaman sekarang ramai pengusaha menggunakan acuan kepingan daripada kayu, namun saya memilih buluh yang digunakan sejak lebih 10 tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelong, Tumpat, hari ini.

Setiap hari, secara purata gula melaka dihasilkan Zainal Abidin mencecah 500 kilogram (kg) iaitu lebih 5,000 keping yang dijual RM13 untuk sekilogram.

Dia yang dibantu isterinya, Norizan Awang@Ani, 50, serta anaknya, Mohd Ikmal Hakimi, 21, akan memulakan proses penghasilan gula melaka sejak 7 pagi.

"Gula melaka dihasilkan menggunakan nira kelapa dan gula sahaja dan proses itu dimulakan dengan memasak dua bahan itu selama enam jam sehingga menjadi likat.

"Untuk satu kawah nisey kerek, saya menggunakan tujuh tong air nira kelapa dan 10kg gula yang dimasak secara berterusan dalam masa enam jam sebelum mula menjadi likat dan bertukar warna," kata bapa kepada 10 cahaya mata itu.

Dia berkata apabila masak, adunan itu akan diangkat dan dicurahkan ke dalam acuan buluh dinding yang disusun di atas meja dan proses itu perlu dilakukan dengan cepat kerana gula melaka mudah mengeras.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 5:18 PM