Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid


BAS ekspres dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh dan tanpa had masa, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengusaha perlu mendaftarkan penumpang menerusi aplikasi MySejahtera atau mengambil butiran penumpang secara manual.

Beliau berkata, ia adalah sebagai langkah untuk pihak berkuasa melakukan pengesanan kontak dalam kalangan penumpang jika ada kes Covid-19.

"Jika dahulu kapasiti penumpang untuk bas ekspres yang dibenarkan adalah separuh namun kini sudah dibenarkan kapasiti penuh.

"Selain itu, bas ekspres turut dibenarkan beroperasi tanpa had masa. Penumpang termasuk pemandu perlu memakai pelitup muka sepanjang perjalanan.

"Pengusaha perlu sediakan pelitup muka untuk penumpang yang tidak membawanya dan boleh jual pelitup muka itu," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.


Beliau berkata, pengusaha juga perlu melakukan proses nyah kuman terhadap bas ekspres yang digunakan selepas beroperasi.

Katanya, perkhidmatan pengangkutan awam lain, seperti feri, kereta api dan tren aliran ringan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.

Bagi pengangkutan awam yang membenarkan penumpang berdiri, Ismail Sabri berkata, setiap penumpang perlu mengawal kendiri mengikut prosedur operasi standard (SOP).

DERETAN bas ekpres di tapak letak kenderaan bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). FOTO Hazreen Mohamad.
DERETAN bas ekpres di tapak letak kenderaan bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). FOTO Hazreen Mohamad.

"Setiap pengangkutan awam ini, penumpang atau pemandu perlu memakai pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan.

"Pesawat penerbangan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.

"Suhu badan penumpang perlu direkodkan terlebih dahulu dan diwajibkan memakai topeng muka," katanya.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga membentangkan Mengenai Pelaksanaan PKP berkenaan SOP Pengangkutan Awam kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini.

Katanya, Mesyuarat Khas turut bersetuju membenarkan perkhidmatan e-hailing dan teksi beroperasi tanpa had masa dan jumlah penumpang juga mengikut kapasiti kenderaan berkenaan.


"Penggunaan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan proses pengesanan kontak dan pembayaran tambang mengikut kaedah tanpa tunai digalakkan.

"Pemakaian topeng muka adalah diwajibkan bagi semua penumpang dan pemandu," katanya.

Beliau berkata, Mesyuarat Khas juga bersetuju untuk membenarkan kenderaan persendirian membawa penumpang yang bukan dari keluarga atau dari rumah yang sama dan mengikut kapasiti kenderaan.

"Mereka juga perlu memakai topeng muka di dalam kenderaan," katanya.


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 3:14 PM