PATI warga Indonesia yang dihantar pulang melalui Pelabuhan CIQS Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
PATI warga Indonesia yang dihantar pulang melalui Pelabuhan CIQS Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


"JIKA diberi peluang kedua, saya mahu kembali semula ke Malaysia tetapi melalui saluran yang betul," ujar warga Indonesia, yang hanya mahu dikenali sebagai Dzulifiqor Sugainto, 39, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diusir pulang, hari ini.

Dzulfiqor antara 82 orang PATI diusir pulang ke negara asal menggunakan perkhidmatan feri penumpang dari Pelabuhan Kastam Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tawau ke Pelabuhan Tunon Taka, di Nunukan Indonesia, 8.30 pagi tadi.

Dia yang berasal di wilayah Sulawesi Selatan berkata, pengalaman menjalani hukuman penjara atas kesalahan Imigresen (tiada dokumen perjalanan sah) sebelum di tempatkan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) tidak mematahkan semangatnya untuk kembali mencari rezeki di negara ini.

"Di sini aman, peluang pekerjaan juga banyak dengan pendapatan yang saya fikir cukup lumayan, cuma perlu berhati-hati jangan sampai ditipu ejen pekerjaan atau individu yang tidak bertanggungjawab," katanya yang mengakui pernah ditipu ejen ketika pertama kali menjejakkan kaki di ladang di Tawaupada 2012.

Program khas penghantaran pulang PATI itu diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan agensi kerajaan yang lain.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Siti Saleha Habib Yussof, berkata, kesemua 82 tahanan terdiri daripada 77 lelaki dan lima wanita terbabit didapati negatif selepas menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diusir pulang ke negara asal.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini 3,753 orang termasuk PATI warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam diusir yang dikendalikan JIM Sabah menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran sejak 1990 seramai 594,920 orang.

"MKN merakamkan penghargaan kepada pihak Konsulat Republik Indonesia yang telah memberi kerjasama dalam memastikan rakyat mereka dapat pulang ke negara asal.

"Sehubungan itu, kami juga mengharapkan kerjasama negara-negara jiran lain agar tahanan dapat diterima kembali ke negara asal mereka terutamanya tahanan warganegara Filipina yang kini masih ditempatkan di PTS seluruh negeri Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Saleha berkata, pihaknya komited dalam memastikan semua tahanan dapat kembali ke negara asal untuk menikmati hak mereka dan menjalani kehidupan biasa di negara sendiri.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan terhadap PATI tetap diteruskan walaupun negara berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19 selari dengan usaha kerajaan membanteras kehadiran PATI di negeri Sabah.

"Kerjasama semua pihak terutamanya majikan supaya tidak melindungi atau menggaji PATI demi keselamatan dan kesejahteraan negeri Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 11:07 AM