SEBAHAGIAN PATI warga Indonesia yang diusir ke negara asal, melalui Pelabuhan Tawau, pagi ini. FOTO Ihsan MKN Sabah.
SEBAHAGIAN PATI warga Indonesia yang diusir ke negara asal, melalui Pelabuhan Tawau, pagi ini. FOTO Ihsan MKN Sabah.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seramai 266 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang tamat menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan diusir pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau ke Wilayah Nunukan Indonesia, pagi ini.

Program pengusiran yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah itu adalah siri ke-26 melalui laut pada tahun ini membabitkan PATI Indonesia dan Filipina.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata jumlah keseluruhan pengusiran PATI keluar dari Sabah sepanjang tahun ini adalah seramai 6,421 orang termasuk 221 orang ke lain-lain negara yang diusir melalui udara masing-masing membabitkan warga Pakistan, China, Vietnam, Hong Kong, Korea Selatan yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.

Beliau berkata, selain mengatasi kebanjiran PATI di Pusat Tahanan Sementara (PTS) tindakan pengusiran juga adalah sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Kewujudan Kluster Benteng yang berpunca daripada penahanan PATI yang cuba menceroboh masuk ke Sabah harus menjadi pengajaran dan gambaran jelas kepada semua pihak bahawa kemasukan PATI tidak boleh dipandang ringan.

"Disamping itu, sekatan masuk terhadap rakyat daripada negara yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi termasuk dari Indonesia dan Filipina seharusnya memberi mesej jelas kepada rakyat Malaysia bahawa sempadan negara tidak boleh dilangkaui dengan sewenang- wenangnya," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Siti Saleha juga, semua tahanan sudah menjalani ujian saringan Covid-19 manakala mereka yang didapati sakit akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu dan dipastikan berada dalam keadaan 'fit to travel' sebelum diusir.

Katanya, program pengusiran bermula 9 pagi itu membabit tahanan daripada PTS Tawau dan PTS Sandakan menggunakan perkhidmatan feri penumpang yang turut dibantu JIM Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan agensi lain.

Jelas beliau lagi, seperti siri pengusiran sebelum ini, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu dan Konsulat Republik Indonesia Tawau bagi memastikan proses pengusiran berjalan lancar.

"MKN Sabah amat menghargai kerjasama yang dihulurkan. Orang ramai juga diingatkan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan dalam usaha membendung penularan Covid-19 dengan tidak bersekongkol membawa masuk atau menyembunyikan kehadiran PATI.

"Sebarang maklumat berkaitan kemasukan PATI atau pembolosan sempadan negara boleh disalurkan dengan menghubungi National Task Force di talian 011-62511223," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 12:19 PM