Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Mahu hantar anak ke kampung serta bercuti atau mahu menghadiri majlis perkahwinan di negeri lain yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Itu antara alasan remeh diberikan oleh beberapa individu yang terpaksa ditolak permohonan dibuat mereka untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula sejak empat hari lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima sebanyak 1,587 permohonan daripada orang ramai yang mahu melakukan pergerakan rentas sempadan negeri bagi tempoh empat hari berkenaan.

"Daripada jumlah itu, 1,555 permohonan diluluskan untuk tujuan perubatan, kematian, urusan kecemasan serta keperluan lain.

"Pada masa sama, sebanyak 32 permohonan ditolak atas alasan remeh seperti mahu bercuti atau menghadiri majlis perkahwinan di luar kawasan PKPB di negeri lain serta mahu menghantar anak balik kampung tanpa sebarang tujuan penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Khas Pematuhan PKPB di sekitar Pasar Borong Selayang dan Sri Gombak di sini, malam tadi.

Dalam operasi sama, beliau turut meluangkan masa melakukan tinjauan penugasan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak di kedua-dua arah.

Arifai berkata, mana-mana individu yang ingkar arahan PKPB boleh diambil tindakan termasuk dikompaun mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan (11) 1 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan serta keselamatan diri dan orang lain bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

"Jika tiada keperluan mendesak, orang ramai dinasihatkan supaya terus kekal berada di rumah bagi mengelakkan terdedah dengan risiko jangkitan virus berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 8:50 AM