ANTARA individu yang ditahan sabung ayam. FOTO Ihsan Polis
ANTARA individu yang ditahan sabung ayam. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


TUJUH lelaki yang leka melakukan aktiviti sabung ayam ditahan dalam Operasi Perjudian Laga Ayam di kawasan semak Jalan Changkat Lembah, Kampung Changkat di Gombak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Gombak, pada 3.50 petang.

“Hasil intipan dilakukan selama 20 minit mendapati terdapat aktiviti perjudian laga ayam di kawasan berkenaan.

“Kami menahan dua lelaki tempatan dan tujuh lelaki warga Indonesia berusia antara 25 hingga 39 tahun di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya turut merampas empat ayam sabung, satu kotak putih mengandungi empat set taji ayam buatan sendiri, satu sangkar, satu gelanggang sabung ayam dan wang tunai berjumlah RM3,450.

“Pemeriksaan terhadap lima lelaki warga Indonesia berkenaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 44(1) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 11:00 PM