Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN dua lelaki untuk menyeludup 100 bungkus daun ketum seberat satu tan ke Lembah Klang gagal apabila lori tiga tan dipandu itu ditahan polis, dua hari lalu.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, dua lelaki berusia 21 dan 47 tahun itu ditahan di tepi jalan Kampung China, Kubur Panjang oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

Daun ketum itu diikat dalam plastik lutsinar sebelum dimasukkan ke dalam plastik hitam yang disusun di bahagian belakang lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dua lelaki itu dipercayai dalam perjalanan membawa 100 bungkusan daun ketum itu ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, mereka menggunakan lori itu untuk mengaburi pihak berkuasa, malah pernah dua kali melakukan kegiatan sama menyeludup daun ketum sebelum ini menggunakan lori yang sama.

"Daun ketum itu dipercayai mendapat permintaan di sana (Kuala Lumpur) menyebabkan mereka mengambil peluang untuk melakukannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengaut keuntungan.

"Mereka cuba mengaburi kononnya membawa barangan lain dalam lori itu, namun hasil maklumat dan risikan yang dilakukan anggota kami akhirnya mereka berjaya ditahan dan cuba menyeludup daun ketum berkenaan," katanya ketika ditemui di IPD Pendang, hari ini.

Arriz Sham berkata, daun ketum itu dipercayai diperolehi di di sekitar daerah ini dengan harga pasaran di sini sekitar RM12 sekilogram.

Beliau berkata, bagaimanapun ia mampu dijual dengan harga RM30 sekilo di Lembah Klang yang mana harganya meningkat dua kali ganda.

"Nilai keseluruhan daun ketum yang dirampas sebanyak RM30,000, manakala lori itu ditahan untuk membantu siasatan.

"Kedua-dua suspek kini direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3), Akta Racun 1952," katanya.

Arriz Sham berkata, kes juga disiasat mengikut Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau berkata, ini rampasan terbesar membabitkan daun ketum di daerah ini sepanjang tahun ini.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka bebas dari pengambilan dadah.

"Seorang dari suspek bekerja sebagai juruteknik, manakala seorang lagi tidak bekerja," katanya.

Polis merampas 100 bungkusan daun ketum seberat satu tan yang bernilai RM30,000.
Polis merampas 100 bungkusan daun ketum seberat satu tan yang bernilai RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 3:05 PM