DEPUTI Superintendan Arriz Sham Hamezah (tengah) bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan daun ketum yang ditemui dalam 102 kotak bernilai RM65,000 yang disorok. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DEPUTI Superintendan Arriz Sham Hamezah (tengah) bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan daun ketum yang ditemui dalam 102 kotak bernilai RM65,000 yang disorok. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Taktik lelaki menyembunyikan lebih dua tan daun ketum dalam kotak barang seolah-olah membawa barangan keperluan asas dengan menggunakan treler gagal apabila dia ditahan polis, Rabu lalu.

Dalam kejadian 6.50 petang, pemandu treler berusia 36 tahun itu ditahan di tepi Jalan Batu Menunggul, di sini, ketika berhenti untuk membeli makanan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, treler berkenaan ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dan Balai Polis Sungai Tiang.

Beliau berkata, pada mulanya, anggotanya mendapati hanya palet kayu kelihatan di bahagian belakang lori, namun hasil pemeriksaan menemui timbunan kotak barangan di situ.

"Akibat curiga, anggota polis memeriksa kesemua 102 kotak barangan itu dan mendapati di dalamnya terdapat daun ketum segar dipercayai mahi dihantar ke Selangor.

"Suspek mengaku dia memandu treler berkenaan tanpa pengetahuan majikannya dan menerima upah RM7,000 untuk satu perjalanan membawa daun ketum berkenaan," katanya ketika ditemui di IPD Pendang, di sini hari ini.

Arriz Sham berkata, siasatan awal mendapati ia adalah kali kedua suspek melakukan kegiatan itu di mana sebelum ini dia turut menggunakan modus operasi sama, kira-kira tiga minggu lalu.

Katanya, sebelum ini upah diterima hanya RM4,000 namun bayaran dinaikan kepada RM7,000 kerana terpaksa mengharungi cabaran termasuk sekatan jalan raya (SJR).

"Tugas dia sangat mudah, hanya membawa daun ketum dari sini (Kedah) ke Sungai Buloh dan ada individu akan mengambil daun ketum ini di sana sebelum pulang semula selepas tugasnya selesai.

"Kita percaya daun ketum ini untuk dibawa ke Lembah Klang disebabkan permintaan tinggi kerana kesukaran untuk mendapatkan bekalan.

"Siasatan juga mendapati kegiatan suspek tidak diketahui majikannya kerana treler diparkir di rumahnya," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas dadah.

Katanya, daun ketum yang dirampas dianggarkan bernilai RM65,000 dan suspek direman tujuh hari bermula Khamis lalu untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 3:45 PM