ANTARA bungkusan daun ketum yang dirampas di Bukit Pak Pom. FOTO ihsan Polis
ANTARA bungkusan daun ketum yang dirampas di Bukit Pak Pom. FOTO ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli

WANITA warga Kemboja ditahan polis ketika membungkus daun ketum dalam serbuan di tepi jalan kebun getah di Bukit Pak Pom, Kubur Panjang, Pendang, semalam.

Wanita berusia 28 tahun itu yang bekerja sebagai penoreh getah dikatakan tidak menyedari kehadiran polis dalam serbuan 8 malam itu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, serbuan dilakukan anggotanya dari Balai Polis Kubur Panjang berikutan maklumat dan risikan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, ketika serbuan, wanita itu sedang duduk seorang diri ketika membungkus daun ketum segar berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemui 25 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 120 kilogram (kg) daun ketum.

"Berikutan itu anggota kami merampas kesemua bungkusan daun ketum bernilai RM3, 600 itu untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arriz berkata, wanita itu dipercayai sudah berkahwin dan baru lapan bulan menetap di Kampung Gajah Mati, Pendang.

Beliau berkata, selain menoreh getah, dia menjalankan kerja sampingan membungkus daun ketum untuk mendapatkan wang dengan jalan mudah.

"Kita tahan dia untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Bagaimanapun hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas pengaruh dadah selain tidak pernah memiliki rekod jenayah sebelum ini, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 8:38 AM