Zuliaty Zulkiffli


LELAKI yang sedang membungkus sejumlah 400 kilogram (kg) daun ketum di sebuah rumah di Kampung Tok Set, Mukim Padang Kerbau, Pendang, dicekup polis dalam serbuan Ops Sepadu, hari ini.

Suspek berusia 19 tahun itu ditahan pada 12.10 tengah malam di rumah yang disyaki menjadi tempat penyimpanan daun ketum berkenaan untuk dibungkus sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, hasil pemeriksaan menemui 42 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum dianggarkan bernilai RM12,000.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan daun ketum berkenaan di kawasan berhampiran dan membungkus semula daun itu berdasarkan permintaan pelanggan.

“Kita percaya permintaan tinggi terhadap daun ketum yang dijual kira-kira RM300 bagi 10 kg menyebabkan suspek yang juga penganggur sanggup mengambil risiko melakukan kegiatan berkenaan dan mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Kita masih menjalankan siasatan sama ada lebih ramai lagi yang terbabit dalam kegiatan itu selepas tertangkapnya suspek utama ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, hari ini.

Arriz Sham Hamezah berkata, pihaknya percaya suspek menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun lalu di rumah yang hanya dijadikan tempat penyimpanan daun ketum.

“Maklumat ini adalah hasil risikan anggota kami sebelum berjaya mengesan suspek di rumah berkenaan.

“Kita percaya sindiket menjadikan daerah ini sebagai tempat menyimpan dan membungkus ketum selepas beberapa daerah diserbu pihak berkuasa sebelum ini,” katanya.

Suspek yang direman tujuh hari mulai hari ini tidak memiliki rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Sesyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 6:41 PM
Caption<ARRIZ Sham (tengah) menunjukkan sebahagian 400 kilogram daun ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Seh, Pendang, hari ini. FOTO/VIDEO ZULIATY ZULKIFFLI
Caption<ARRIZ Sham (tengah) menunjukkan sebahagian 400 kilogram daun ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Seh, Pendang, hari ini. FOTO/VIDEO ZULIATY ZULKIFFLI