SABRIMAL menunjukkan kawasan rumahnya yang musnah dalam kebakaran itu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
SABRIMAL menunjukkan kawasan rumahnya yang musnah dalam kebakaran itu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


MANGSA kebakaran di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, Tawau, petang semalam, memerlukan perhatian dan bantuan segera.

Ia berikutan ketika kebakaran rata-rata mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk pakaian.

Sabrimal Alimudin, 22, berkata ketika ini mereka amat memerlukan bantuan dan sumbangan pakaian, selain makanan dan minuman.

SEBAHAGIAN penduduk kampung mencari barang mereka yang bekas tapak rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
SEBAHAGIAN penduduk kampung mencari barang mereka yang bekas tapak rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming

"Ketika kejadian, kami sekeluarga tidak sempat berbuat apa-apa kerana api cepat merebak. Semua barang-barang dan pakaian musnah terbakar," katanya ketika ditemui hari ini.

Fawzi Abdul Manaf, 23, pula beranggapan kebakaran yang memusnahkan kediamannya itu sebagai takdir selain reda menerima ujian yang menimpa mereka sekeluarga.

"Walaupun rumah dan barang-barang semua musnah, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat," katanya.

Mangsa, Mohd Arfah Mohd Nor, 25, berkata ketika ini kebanyakan mangsa terpaksa menumpang di rumah sanak saudara sementara menunggu pusat penempatan sementara dibuka.

Sekurang-kurangnya 1,500 penduduk tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran yang meranapkan lebih 250 rumah di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas, kira-kira 3 petang semalam.

Kebakaran itu membabitkan kawasan perkampungan atas air seluas kira-kira 4,500 meter persegi sebelum dapat dikawal sepenuhnya, pada 5.11 petang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Syed Abas Syed Ali, berkata pihaknya amat berduka cita dengan kejadian itu.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita dukacita dengan apa yang berlaku kepada keluarga ini dan kita berharap mereka bersabar sementara menunggu bantuan disalurkan,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE Kebakaran Tawau] Dua remaja cedera

[UPDATE] 250 rumah jadi abu

Lebih 20 rumah hangus

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 2:13 PM