Nur Izzati Mohamad


DUA wanita terpedaya mengalami kerugian RM12,560 apabila terpedaya dengan sindiket penjualan barangan kemas murah dibawah harga pasaran.

Masing-masing berusia 37 dan 26 tahun dari Sungai Dua dan Tasek Gelugor didakwa melayari laman sosial Facebook semalam dan tertarik pada iklan barangan kemas yang ditawarkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kedua-dua mangsa kemudian bertukar nombor telefon untuk urusan selanjutnya.

"Mangsa pertama memaklumkan dia berurusan dengan seorang lelaki yang mendakwa seorang guru yang pada masa sama menguruskan sebuah kedai emas di Kuala Lumpur.

"Manakala mangsa kedua pula memberitahu dia berurusan dengan seorang pemilik kedai emas di Kota Bharu, Kelantan.

"Sebaik selesai berurusan kedua-dua mangsa berminat untuk membeli barangan kemas itu yang mana mangsa pertama memasukkan wang berjumlah RM9,660 dan mangsa kedua pula RM2,900," katanya dalam kenyataan, di Kepala Batas hari ini.

Noorzainy berkata, kedua-dua mangsa menyedari ditipu kerana diminta membuat bayaran tambahan.

"Kedua-dua mereka terus datang membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran barangan dibawah harga pasaran terutamanya membabitkan barangan kemas.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 4:11 PM