JEMAAH berdoa selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang, 22 Mei lalu. FOTO Ghazali Kori
JEMAAH berdoa selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang, 22 Mei lalu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


LEBIH banyak masjid akan dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat di Terengganu dalam masa terdekat berbanding hanya lapan masjid di setiap daerah, ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, perkara itu akan diumumkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta persetujuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Katanya, pihaknya sedang berbincang dengan Pejabat Mufti Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan beberapa jabatan berkaitan lain bagi memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Peringkat kedua ini akan diberi ruang kepada lebih banyak masjid dengan mendahulukan masjid mukim dengan bilangan lebih 100 masjid di seluruh Terengganu.

"Bagaimanapun, jumlah jemaah masih dihadkan kepada 40 orang berbanding di negeri lain yang menetapkan 12 jemaah sahaja.

"Selain itu, kita turut mempertimbangkan untuk membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini," katanya ketika mengadakan lawatan kerja sempena Hari Wartawan Nasional di pejabat-pejabat media di Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Nor berkata, kebenaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan kerajaan negeri akan membenarkan semua masjid di Terengganu digunakan seperti biasa tanpa SOP sekiranya keadaan pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

"Apa yang dilaksanakan sekarang masih bergantung kepada SOP kerana dibimbangi umat Islam akan berpusu-pusu ke masjid memandangkan sudah agak lama merindui suasana untuk solat berjemaah di masjid," katanya.

Sebelum ini, Sultan Mizan memperkenankan hanya satu masjid di setiap daerah dibenarkan mengadakan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPB susulan penularan wabak Covid-19, di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 6:33 PM