Shamran Sarahan dan Sri Ayu Kartika Amri


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu membabitkan pekerja warga asing di sebuah syarikat pembersihan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sehingga 12 tengah hari ini, 24 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kluster itu yang semuanya membabitkan pekerja warga Bangladesh.

Beliau berkata, jangkitan kes kluster itu dikesan sebuah klinik swasta yang menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja syarikat pembersihan berkenaan.

Katanya, saringan itu dijalankan sebagai inisiatif majikan untuk menyaring pekerja mereka dan keseluruhannya, 150 pekerja warga asing dari syarikat itu sudah disaring dengan 126 daripadanya negatif Covid-19.

"Daripada 24 kes positif kluster ini, 20 daripada mereka menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

"Empat kes lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban," katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya kini dalam langkah membendung dan pencegahan dengan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penghuni serta kontak rapat, termasuk pekerja warga asing yang bertugas di unit lain syarikat itu.

"Setakat ini 428 kontak rapat dikenal pasti dan akan disaring," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, KKM sebelum ini memaklumkan, kebanyakan kluster membabitkan warga asing berpunca daripada penginapan yang sesak dan ruang sempit mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial.

Katanya, ia adalah medium yang amat sesuai untuk membolehkan penularan pelbagai penyakit berjangkit, termasuk virus Covid-19.

"Sehubungan itu, KKM menyambut baik pengumuman Menteri Sumber Manusia pada 27 Mei (Rabu lalu), mengenai penguatkuasaan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Pindaan itu bagi menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang disediakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia," katanya.

Katanya, isu ini perlu ditangani segera bagi memastikan penginapan golongan pekerja yang tidak kondusif kerana sukar untuk mematuhi amalan penjarakan sosial dapat diatasi.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 6:09 PM