Raja Noraina Raja Rahim dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dua kluster baharu Covid-19 dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Selangor, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu iaitu Kluster Seri Setia dikenal pasti di Seri Setia Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kess indeks kluster itu kes ke-10,927 adalah seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah dari 16 hingga 20 September lalu sebelum bergejala sejak 21 September lalu.

"Saringan Covid-19 dilakukan terhadap individu berkenaan didapati positif pada 27 September lalu dan beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif Covid-19 bagi kluster ini dikenal pasti yang semuanya membabitkan individu tempatan dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 23 individu disaring bagi kluster ini dengan empat individu dikesan positif, manakala 14 individu dikesan negatif dan lima individu masih menunggu keputusan manakala punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kluster baharu dikenal pasti di Selangor hari ini adalah Kluster Seri Anggerik yang dilaporkan di Hulu Selangor.

Beliau berkata, kes indeks kluster iaitu kes ke-10,776 membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dari 9 hingga 18 September lalu sebelum mula bergejala sejak 25 September lalu.

"Selepas dikesan positif pada 26 September lalu, beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 14 lagi kes positif bagi kluster ini dikenal pasti.

"Semua kes positif terbabit adalah membabitkan individu tempatan dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 67 individu disaring dengan 14 individu dikesan positif, manakala 15 individu dikesan negatif dan 38 individu masih menunggu keputusan manakala punca jangkitan bagi Kluster Seri Anggerik masih dalam siasatan," katanya.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 6:43 PM