Nurul Hidayah Bahaudin


JANGKITAN Covid-19 bagi Kluster Tawar meningkat kepada 55 kes positif, apabila lapan lagi kes baharu dikesan masing-masing empat di Kedah dan Pulau Pinang, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, operasi pengesanan dan saringan kes positif masih diteruskan.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 1,910 individu sudah disaring bagi kluster ini membabitkan 1,560 di Kedah, Pulau Pinang (341) dan Perak (9).

"Setakat ini, 343 individu di Kedah dan 14 individu di Pulau Pinang masih menunggu keputusan saringan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Sala pula, seramai 662 individu di Kedah dan enam individu di Pulau Pinang disaring.

"Daripada jumlah itu, terdapat 11 kes positif dengan semua kes berkenaan dilaporkan di Kedah. Setakat ini, 157 individu di Kedah masih menunggu keputusan saringan.

"Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat bagi kedua-dua kluster ini masih diteruskan," katanya.

Dalam kenyataan itu, Noor Hisham turut menggesa orang ramai supaya mengambil kesempatan tetap patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) sambil mengamalkan normal dan kebiasaan baharu menjelang sambutan Awal Muharam serta cuti umum, esok.

"Sempena hari perayaan dan cuti umum ini, ramai yang mungkin merancang untuk pulang ke kampung, menziarahi saudara-mara dan rakan termasuk aktiviti merentas negeri serta rancangan untuk mengadakan aktiviti riadah bersama keluarga.

"Namun, KKM menggesa orang ramai supaya tetap patuh kepada SOP sambil mengamalkan normal dan kebiasaan baharu dalam segala aktiviti yang bakal dilakukan. "Elakkan daripada mengadakan sebarang perhimpunan besar-besaran sempena hari perayaan ini," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19



  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:06 PM