Mohd Amin Jalil


TINDAKAN penguatkuasaan yang tegas dan kesedaran tinggi pengguna terhadap kepentingan harga barangan keperluan harian menjadi faktor utama pelanggaran undang-undang dalam kalangan peniaga menurun atau berkurangan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, faktor itu dapat dilihat menerusi statistik yang diperoleh kementerian itu hasil operasi dan pemeriksaan yang dijalankan.

Menurutnya, sepanjang tempoh dilaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri dari 20 hingga semalam, KPDNHEP hanya merekodkan 48 kes daripada 16,976 pemeriksaan yang diadakan.

Katanya, ia membabitkan jumlah rampasan barangan sebanyak RM10,448.30 dengan jumlah kompaun sebanyak RM118,000.

"Bilangan kes membabitkan pelbagai kesalahan peniaga seperti menaikkan harga barangan atau kesalahan meletakkan tanda harga yang dilihat menurun itu menunjukkan peniaga mematuhi undang-undang atau peraturan ditetapkan kerajaan.

"Ada peniaga yang menawarkan harga lebih rendah daripada yang ditetapkan terhadap barangan tertentu disebabkan mereka mendapat bekalan yang mudah dan rendah daripada pembekal.

"Kesedaran pengguna yang meningkat juga menjadi faktor utama dalam mendidik masyarakat peniaga lebih beretika apabila kami menerima 4,000 aduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung harga barangan keperluan harian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke Pasar Besar Seremban hari ini.

Hadir sama Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dan Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan Ain Arjuna Aziz Zaman.

Hasnol berkata, peniaga menjadi lebih berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya untuk menaikkan harga barangan kerana pengguna dapat memainkan peranan mereka dengan melaporkan sebarang tindakan menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa.

"Saya fikir ramai peniaga sudah sedar terhadap peraturan ditetapkan pihak kerajaan, malah media juga banyak memainkan peranan dalam hal ini menerusi laporan kes atau kompaun atau tindakan oleh mahkamah terhadap peniaga yang melanggar peraturan.

"Laporan itu menunjukkan sampai kepada masyarakat peniaga sekali gus mendorong mereka untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak bertindak menaikkan harga sesuka hati kerana bakal dikenakan hukuman atau denda," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP akan meneruskan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan menggesa peniaga mengamalkan etika perniagaan yang baik dengan mematuhi peraturan ditetapkan.

"Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu manakala bagi syarikat denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 1:51 PM
    DATUK Seri Hasnol ketika mengadakan lawatan dan pemeriksaan skim harga maksimum musim perayaan Hari Raya Puasa di Pasar Besar Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
    DATUK Seri Hasnol ketika mengadakan lawatan dan pemeriksaan skim harga maksimum musim perayaan Hari Raya Puasa di Pasar Besar Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin