S Veerapan dan Ain Arjuna Aziz Zaman melihat harga ayam yang dijual di Pasar Besar Tampin. FOTO Mohd Amin Jalil
S Veerapan dan Ain Arjuna Aziz Zaman melihat harga ayam yang dijual di Pasar Besar Tampin. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


KERAJAAN Negeri Sembilan mendapati kepatuhan peniaga di negeri ini terhadap undang-undang dan peraturan ditetapkan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terutama pada musim perayaan amat memberangsangkan.

Ini berdasarkan kes membabitkan peniaga yang menyalahi undang-undang terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bersyarat (PKPB) yang bermula 18 Mac lalu, menunjukkan pengurangan ketara.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, sepanjang tempoh berkenaan hingga semalam, KPDNHEP negeri hanya merekodkan satu kes gagal mempamerkan tanda harga dan dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM1,000.

Katanya, empat kes lain dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang membabitkan dua kes pembelian atas talian dan masing-masing satu kes katering serta satu kes pembelian komputer.

"Pejabat KPDNHEP negeri hanya menerima sebanyak 389 aduan membabitkan pelbagai kesalahan mengenai harga barangan keperluan harian sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

"Aduan tertinggi hanya membabitkan harga barangan iaitu sebanyak 158 manakala yang lain ialah harga barang kawalan (19) dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sebanyak lima aduan.

"Secara keseluruhannya, majoriti masyarakat peniaga didapati mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan, manakala pengguna juga didapati memainkan peranan proaktif dengan menyalurkan maklumat terhadap sebarang salah laku peniaga," katanya selepas melakukan lawatan dan pemeriksaan SHMMP di Pasar Besar Tampin tadi.

Turut hadir Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman.

Pemeriksaan itu bertujuan memastikan barangan harga terkawal dijual tidak melebihi harga maksimum selain memantau peniaga mematuhi arahan meletakkan tanda harga khas serta kedudukan barangan harga terkawal mencukupi di pasaran selain penggunaan alat timbang dan sukat yang ditetapkan.

Veerapan berkata, walaupun negara sedang berdepan dengan situasi pandemik Covid-19, dengan tempoh PKPB, namun SHMMP tetap dilaksanakan.

Menurutnya, ini kerana masih terdapat permintaan daripada orang ramai terhadap barangan tertentu untuk menyambut perayaan Aidilfitri.

Beliau mengingatkan peniaga supaya terus mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Manakala bagi syarikat pula, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 4:51 PM