Norzamira Che Noh

KETETAPAN barang yang dipilih untuk dikenakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di musim perayaan Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai bergantung kepada penilaian pasaran semasa.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, kementerian itu mengumpul data harga barangan sejak 2009 dan melihat kenaikan serta penurunan menerusi data berkenaan.

"Apabila kita dapati turun naik itu tidak dalam julat yang besar atau melampau, kita berasakan bahawa tiada tekanan terhadap harga dalam tempoh masa yang ditetapkan.

"Walaupun KPDNHEP hanya menyenaraikan 11 barangan di bawah SHMMP kali ini, kita memantau harga lebih 30 barangan untuk memastikan ianya berada dalam kawalan," katanya kepada media ketika Lawatan Pelaksanaan SHMMP di Pasar Seksyen 6 di Shah Alam hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah.

DBKL menyita barangan penjual sayur warga asing di sekitar Jalan Raja Bot, Jalan Haji Hussein 3, Kuala Lumpur, hari ini.  FOTO Ihsan DBKL.
DBKL menyita barangan penjual sayur warga asing di sekitar Jalan Raja Bot, Jalan Haji Hussein 3, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan DBKL.

Hasnol berkata, kementerian itu boleh memasukkan senarai baharu pada bila-masa sekiranya terdapat jangkaan harga barangan berkenaan akan naik kerana matlamat KPDNHEP adalah harga barangan berada dalam julat yang dibenarkan.

Katanya, terdapat banyak faktor yang mendorong kenaikan serta penurunan harga barang seperti cuaca, import dan eksport, wabak serta lain-lain.

Sementara itu, beliau memaklumkan sepanjang tempoh dua hari penguatkuasaan SHMMP, lebih 2,400 premis perniagaan diperiksa di seluruh negara termasuk pasar basah.

"Sehingga semalam, hanya satu kes dihasilkan membabitkan penjual ayam di Kuala Lumpur yang menjual ayam pada harga yang tinggi iaitu RM9 sekilogram.

"Peniaga itu dikenakan kompaun berjumlah RM2,500 dan diberikan tempoh 14 hari untuk menyelesaikan kompaun berkenaan," katanya.

Selain itu, ketika sesi melawat Pasar Seksyen 6, Hasnol memaklumkan semua peniaga dilihat mematuhi harga yang ditetapkan terutamanya ayam yang dijual pada harga RM7.50 sekilogram.

Beliau turut memuji sistem pengurusan pasar yang dilihat bagus dalam memastikan penjarakan sosial dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 12:16 PM