POLIS menahan suspek. FOTO Amir Mamat
POLIS menahan suspek. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


CUBAAN dua beradik melarikan diri daripada pemeriksaan polis gagal apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai di Kampung Bukit Dato B, Tanjung Minyak, Melaka, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, dua anggota polis dan seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membuat rondaan terserempak dengan Proton Wira dinaiki tiga individu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, susulan itu, kenderaan suspek diarah berhenti untuk pemeriksaan sebelum mereka secara tiba-tiba memecut menyebabkan anggota mengejarnya selama kira-kira 15 minit.

"Seorang daripada suspek turut membaling alat pemadam api serta tiga unit bateri kenderaan ke arah kereta peronda polis bagi menghalang daripada terus dikejar.

"Bagaimanapun, kenderaan dipandu suspek hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam sungai sebelum menahan dua beradik manakala seorang lagi meloloskan diri," katanya.

Afzanizar berkata, pemeriksaan terhadap dua beradik yang masing-masing berusia 25 serta 30 tahun itu tidak menemui apa-apa barang terlarang, bagaimanapun, kenderaan yang digunakan itu pernah dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu selain kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau dan buruan polis.

"Kedua-dua suspek ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun yang sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan menggunakan kekerasan, selain Peraturan 15(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Penolong Penguasa bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya digerakkan ke lokasi kejadian selepas seorang daripada suspek berada dalam sungai dan enggan naik ke darat.

Bagaimanapun, katanya, selepas hampir 15 minit dipujuk, suspek yang bersembunyi di sebalik rimbunan daun itu menyerah diri sebelum diserahkan kepada polis.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:46 PM