Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga kluster jangkitan Covid-19 membabitkan tapak pembinaan yang merekodkan 88 kes positif virus itu setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur, kluster tapak pembinaan Setia Alam dan kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2.

Beliau berkata, bagi kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur, sejumlah 488 sampel sudah diambil, daripada jumlah itu, 31 kes positif Covid-19 membabitkan 29 warga Bangladesh dan dua Indonesia.

Katanya, kluster tapak pembinaan Setia Alam pula merekodkan 13 kes positif Covid-19 membabitkan warga Bangladesh menerusi 91 sampel yang sudah diambil.

"Untuk kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2, sebanyak 350 sampel sudah diambil, 44 kes positif Covid-19 membabitkan 34 warga Bangladesh, sembilan warga Indonesia dan satu warga Malaysia yang dikesan 25 Mei lalu

"Kluster itu dikenal pasti susulan arahan saringan pekerja asing bagi industri pembinaan, terutama di zon merah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Setakat hari ini, beliau berkata, seramai 27,383 pekerja di tapak binaan sudah disaring Covid-19 oleh majikan masing-masing.

Katanya, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya juga mengenakan perintah tutup tapak pembinaan dan rumah kongsi yang terbabit dengan kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2.

"Proses pembersihan dan nyah kuman di tapak pembinaan serta rumah kongsi sudah mula dilaksanakan. Terima kasih diucapkan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang giat menjalankan pemeriksaan tapak pembinaan bagi memastikan prosedur standard operasi (SOP) dipatuhi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sehubungan penularan kes positif Covid-19 di tapak pembinaan, KKM mendapati bahawa antara punca utama penularan kes Covid-19 dalam kalangan pekerja bukan warga negara bagi kluster tapak pembinaan adalah antaranya penginapan sesak," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penginapan sesak dan ruang sempit itu, menyebabkan tiada amalan penjarakan sosial, selain itu amalan tahap kebersihan diri dan persekitaran yang kurang memuaskan.

"Majikan bertanggungjawab memberi pendidikan kepada pekerja mengenai amalan kebersihan dan langkah pencegahan.

"Majikan juga harus memastikan amalan ini bukan sahaja diamalkan di tempat kerja, malah adalah penting langkah-langkah pencegahan turut diamalkan di tempat penginapan pekerja," katanya.

  SEBANYAK 43 tapak binaan di seluruh Malaysia diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
SEBANYAK 43 tapak binaan di seluruh Malaysia diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 6:23 PM