MOHAMAD Zainal Abdullah memeriksa dokumen pekerja asing ketika membuat lawatan pematuhan SOP di tapak pembinaan di sekitar Dang Wangi. FOTO Aziah Azme
MOHAMAD Zainal Abdullah memeriksa dokumen pekerja asing ketika membuat lawatan pematuhan SOP di tapak pembinaan di sekitar Dang Wangi. FOTO Aziah Azme
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sampah berselerakan serta sisa makanan berlonggok selain tempat makan kotor. Itu situasi yang boleh dilihat di kawasan asrama pekerja di sebuah tapak binaan di Jalan Persiaran Stonor, di sini.

Malah, pekerja di tapak binaan berkenaan terpaksa tidur beralaskan papan lapis tanpa tilam, bantal, selimut serta kipas dengan tiada pengasingan tempat tidur antara lelaki dan perempuan.

Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur Mohd Faisal Fariz Baharudin berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati persekitaran kawasan itu tidak kondusif untuk dijadikan sebagai tempat penginapan pekerja dengan kelengkapan kemudahan asas yang disediakan tidak memuaskan.

"Majikan tidak menyediakan kemudahan asas seperti tilam, bantal, selimut serta kipas dan menempatkan pekerja lelaki dan wanita di bilik sama selain hanya enam tandas disediakan untuk kegunaan 200 pekerja yang kebanyakan terdiri dari warga Bangladesh.

"Selain itu, tempat ini juga tidak diselenggara dengan baik apabila sampah dibiarkan berselerak, sisa makanan berlonggok serta tempat makan kotor.

"Keadaan itu sekali gus boleh mengundang risiko penularan penyakit berjangkit termasuk Covid-19 selain risiko berlakunya kebakaran apabila ada pekerja didapati memasak di dalam bilik (tidur)," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan) pihak polis bersama JTK di sekitar Dang Wangi, di sini.

Operasi yang bermula kira-kira 9 pagi itu diketuai oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dengan memberi tumpuan lokasi pemeriksaan di tapak binaan.

Mohd Faisal berkata, semakan dilakukan pihaknya mendapati majikan terbabit juga tidak mengemukakan permohonan untuk menjadikan tempat itu sebagai asrama pekerja.

"Kami mengeluarkan notis mengikut Seksyen 24 FA Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) terhadap majikan supaya membaik pulih asrama pekerja berkenaan.

"Majikan diberi tempoh masa dua minggu selepas notis berkenaan dikeluarkan sebelum kami melakukan lawatan semula di tempat berkenaan untuk pemeriksaan.

"Jika majikan didapati gagal melakukan baik pulih, kami akan mengeluarkan satu lagi notis mengikut Seksyen 24 FB akta sama bagi arahan memindahkan asrama pekerja dari tempat berkenaan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata, pemeriksaan dilakukan di tapak binaan itu bagi memastikan majikan mematuhi SOP PKP ditetapkan pihak berkuasa.

"Seperti kita sedia maklum, ketika ini terdapat banyak kluster tempat kerja dengan kebanyakannya membabitkan tapak binaan. Malah, tapak binaan ini juga pernah merekodkan lebih 50 kes sebelum ini.

"Justeru itu, kita perlu memastikan majikan serta pekerja mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan penularan Covid-19 di tapak binaan ini," katanya.

Dalam pemeriksaan di sebuah lagi tapak binaan di Jalan Walter Grenier, di sini, mendapati majikan mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati kemudahan asas yang disediakan majikan di tapak binaan berkenaan berada pada tahap memuaskan.

"Majikan ada menyediakan pemeriksa suhu di pintu masuk asrama selain kemudahan asas lain seperti tandas serta tempat makan dalam keadaan bersih.

"Persekitaran kondusif begini yang kita mahu semua majikan bagi pekerja tapak binaan patuhi bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 12:41 PM