Peniaga sayur pasar besar Kuantan berharap lebih ramai pengguna dibenarkan masuk dalam satu masa. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Peniaga sayur pasar besar Kuantan berharap lebih ramai pengguna dibenarkan masuk dalam satu masa. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


PENIAGA di Pasar Besar Kuantan merayu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang menguruskan pusat jualan berkenaan membenarkan lebih ramai pengguna berada dalam pasar dalam satu masa.

Kini hanya 60 pengguna sahaja dibenarkan berada dalam pasar dalam satu masa, faktor berkenaan menimbulkan rasa kurang senang peniaga apabila jualan mereka kini merosot.

Peniaga sayur Suziana Mohd Nasir, 35, berkata, MPK sepatutnya membenarkan lebih ramai pengguna berada dalam pasar bagi mereka mendapatkan pelbagai barangan basah dan kering, kini hanya dihadkan seramai 60 orang sahaja.

Menurutnya, ramai pengguna terutama hujung minggu terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk masuk ke dalam pasar bagi membeli barangan keperluan, seorang pengguna berada dalam pasar antara 30 minit hingga satu jam.

Faktor berkenaan katanya, menyebabkan ramai pengguna tidak sanggup beratur panjang dalam keadaan cuaca panas, apabila pengguna tiada peniaga menanggung kerugian.

"Saya berharap MPK memberi sedikit kelonggaran dengan menambah jumlah pelanggan dalam pasar besar Kuantan dalam satu masa, daripada 60 mungkin boleh ditambah kepada 80 atau 100 orang.

"Waktu operasi pasar yang bermula enam pagi hingga dua petang memaksa pengguna datang awal bagi mendapat barangan keperluan namun apabila sampai mereka perlu beratur panjang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, difahamkan sebelum ini berlaku kejadian pengguna pengsan berikutan beratur terlalu lama ditengah panas, tindakan menyediakan laluan warga emas dan wanita mengandung harus dipuji.

Katanya, semua langkah keselamatan dan pencegahan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi perhatian sepenuhnya MPK, pemeriksaan suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

Rakannya Maizatul Mohd Zainuddin, 28, berkata, bagi pihak peniaga dia berharap MPK memberi sedikit kelonggaran dengan membenarkan lebih ramai pengguna masuk ke dalam pasar dalam satu masa, operasi pasar yang terhad memerlukan pengguna segera berbelanja.

"Kelonggaran berkenaan boleh dilakukan terutama apabila jumlah pengguna yang ramai beratur, apabila pengguna tidak datang ke pasar kesannya dirasai golongan peniaga.

"Saya percaya kakitangan MPK yang bertugas boleh mengawasi aktiviti di dalam pasar terutama membabitkan jarak sosial, nasihat boleh diberikan sekiranya pengguna tidak mengikut peraturan ditetapkan," katanya yang berniaga ikan segar.

Sementara itu, Ketua Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK Norkamawati Kamal berkata, pihaknya terpaksa mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku yang berpunca dari pasar besar Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 4:32 PM