BEBERAPA premis perniagaan masih tidak beroperasi kerana berada di zon kuning di Kuantan. FOTO Asrol Awang
BEBERAPA premis perniagaan masih tidak beroperasi kerana berada di zon kuning di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


WALAUPUN kerajaan Pahang sudah membenarkan premis perniagaan di zon hijau beroperasi, namun beberapa kawasan di daerah Kuantan masih belum membuka perniagaan mereka.

Tinjauan di premis perniagaan di Jalan Mahkota, Jalan Tun Ismail dan Jalan Bukit Ubi, hari ini, bagaimanapun mendapati premis perniagaan yang dibenarkan seperti klinik, farmasi, pasar raya dan restoran beroperasi.

Ini kerana beberapa kawasan di daerah ini terutama di pusat bandar masih dikategorikan zon kuning yang menyebabkan mereka tidak boleh memulakan perniagaan.

Mengikut syarat ditetapkan, kerajaan Pahang hanya membenarkan premis perniagaan beroperasi di zon hijau dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Peniaga kasut Ah Lee Yong, 56, berkata, dia akur dengan arahan kerajaan yang hanya membenarkan perniagaan beroperasi di zon hijau.

Katanya, walaupun sudah mengikut SOP yang ditetapkan terutama mengehadkan pelanggan pada satu masa di premisnya, faktor keselamatan daripada segi kesihatan perlu diutamakan.

"Setakat ini saya sudah membeli alat pemeriksaan suhu badan untuk memastikan pekerja dan pelanggan bebas daripada dijangkiti wabak terbabit.

"Saya akan terus memantau keadaan semasa sebelum memulakan kembali perniagaan," katanya.

Peniaga tudung Darisa Mohamad, 34, berkata, zon kuning yang direkodkan di kawasan Kuala Kuantan 1 menyebabkan premisnya tidak dapat beroperasi.

"Tapi saya akur dan kini hanya menunggu kawasan terbabit bertukar menjadi zon hijau untuk membuka kembali perniagaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac lalu," katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan kelmarin, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, kebenaran premis perniagaan beroperasi hanya membabitkan kawasan zon hijau.

"Mereka yang memulakan perniagaan perlu mengikut SOP ditetapkan.

"Semua pekerja yang berada di dalam premis hendaklah menjalani saringan dan bebas daripada jangkitan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 3:52 PM