AIDILFITRI masih dapat disambut oleh Nordiana Amirudin, 27 tahun dengan cerianya walaupun berjauhan dengan keluarga ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kondo kediaman Elements, Ampang. FOTO Amirudin Sahib.
AIDILFITRI masih dapat disambut oleh Nordiana Amirudin, 27 tahun dengan cerianya walaupun berjauhan dengan keluarga ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kondo kediaman Elements, Ampang. FOTO Amirudin Sahib.
Md Fuzi Abd Lateh


SAMBUTAN 1 Syawal tahun ini dalam norma baharu apabila ada yang menerima 'ang pau' raya menerusi dalam talian (online).

Tinjauan suasana sambutan hari lebaran kali ini mendapati ramai ibu bapa turut memilih kaedah pemberian duit raya dengan cara berkenaan.

Seorang bapa dari Bukit Beruntung, Hulu Selangor, Azrul Hashim Hanafi, 45, berkata, sambutan Aidilfitri kali ini memang sangat berbeza apabila dia memperuntukkan RM2,000 untuk mengagihkan duit raya secara 'online'.

Katanya, pada Ramadan lalu, dia sudah mengumpulkan nombor akaun bank ibu bapa kanak-kanak di kampung halamannya di Kedah bagi tujuan berkenaan.

Katanya, khidmat pemindahan duit raya secara perbankan Internet sangat mudah dan cepat bagi tujuan itu.

"Saya menelefon dan menghantar kiriman WhatsApp kepada rakan-rakan menyatakan sudah memindahkan sedikit wang kepada anak mereka di kawasan kediaman ini dan kampung.

"Kerajaan juga menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dengan mengehadkan jumlah tetamu kepada 20 orang ketika sambutan Aidilfitri pada hari raya pertama dan juga hanya ziarah keluarga terdekat sahaja.

"Jadi saya pilih cara ini lebih selamat," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, setiap tahun, dia mengamalkan konsep sedekah duit raya kepada tetamu yang berkunjung ke rumahnya, namun ia berbeza pada kali ini.

Bagi remaja, Aina Munirah Arshad, 19, dari Bandar Baru Rawang, dia menganggap hikmah pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini memberikan rezeki yang amat menarik apabila turut menerima duit raya 'online" sejak semalam.

Katanya, dia sudah menerima lebih RM1,000 duit raya yang dipindahkan ke akaun banknya daripada rakan keluarga dan nenek dari kampung di Kota Bharu, Kelantan.

"Saya tidak sangka duit raya tahun ini lebih banyak berbanding tahun lalu. Rezeki datang dengan tidak disangka. Ramai yang meminta nombor akaun bank saya untuk berikan duit raya," katanya.

Dia berkata, dua adiknya yang berusia lima dan 11 tahun juga menerima duit raya masing-masing yang dikirimkan ke akaunnya daripada orang ramai yang bermurah hati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 8:54 AM