MUHAMMAD Firdaus Mukhriz dan Siti Sarah melihat baju raya yang dibeli. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Firdaus Mukhriz dan Siti Sarah melihat baju raya yang dibeli. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

KEHADIRAN Syawal tahun ini memberi seribu makna buat remaja mualaf apabila dapat menyambut Aidilfitri bersama ibunya yang turut memeluk Islam tahun lalu.

Muhammad Firdaus Mukhriz Abdullah, 17, berkata, ibunya, Siti Sarah Abdullah, 52, mengucap dua kalimah shahadah pada Jun tahun lalu iaitu selepas setahun dia memeluk Islam.

"Saya sangat gembira dapat menyambut Aidilfitri bersama ibu saya walaupun pada tahun ini sambutan Hari Raya hanya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja.

"Tahun lalu, saya menyambut Hari Raya bersama rakan-rakan dan guru sekolah, kali ini ibu saya pula bersama saya, ibu saya menyediakan beberapa jenis kuih manakala lemang dan ketupat pula dibeli.

"Pada tahun ini saya mungkin tak keluar beraya namun saya bersedia menerima tetamu pada Hari Raya pertama," katanya yang tinggal di Kampung Paya Nomi, Changlun.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, dia memeluk Islam pada usia 15 tahun selepas gemar membaca buku mengenai kisah nabi di perpustakaan sekolah selain merasa tertarik dengan azan serta orang Islam yang sering solat lima waktu.

Katanya, dia kini mampu menunaikan solat lima waktu dan berpuasa penuh selain turut mengajar ibunya mendirikan rukun Islam itu.

"Guru-guru di sekolah sering mengajar saya mendalami agama Islam, selain itu saya mempunyai bapa angkat yang sering menghantar saya mempelajari Islam di sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Hidayah Centre Foundation (HCF) di Jitra setiap minggu.

"Bapa saya sudah meninggal dunia, ibu saya ambil upah mengasuh, tapi saya bersyukur ramai orang Islam membantu saya selain bantuan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 sebulan.

"Saya mohon doa orang ramai di luar sana semoga abang saya turut diberi hidayah untuk menerima Islam, saya dapat lihat abang saya pun sudah dapat menerima cara hidup baru saya dan ibu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 12:15 PM