FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


INDIVIDU yang berhasrat menjual daging lembu atau kerbau sempena Aidilfitri ini diwajibkan menyembelih ternakan itu di pusat penyembelihan diiktiraf.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Bakri Sawir berkata, pusat penyembelihan diiktiraf itu termasuk empat milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan tujuh milik swasta di seluruh negeri ini.

Katanya, penyembelihan dilakukan sendiri adalah tidak dibenarkan sama sekali.

"Mereka yang mahu berbuat demikian boleh berurusan dengan pusat penyembelihan berkenaan.

"Lembu atau kerbau yang dibawa masuk dari daerah dan negeri lain turut boleh disembelih di pusat penyembelihan namun perlu mengemukakan permit perjalanan dari JPV," katanya ketika dihubungi tadi.

Bakri berkata, golongan penjual daging pula perlu memohon permit jualan daripada majlis daerah masing-masing.

Katanya, tujuh pusat penyembelihan swasta yang diiktiraf membabitkan dua di Kuala Pilah, satu di Jempol, satu di Tampin dan dua di Seremban manakala empat pusat penyembelihan milik JPV berada di Tampin, Jelebu, Senawang dan Kuala Pilah.

"Secara umumnya, tiada aktiviti 'mantai' di negeri ini bagi sambutan Aidilfitri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ) dan kebenaran ini diharap dapat memudahkan orang ramai membeli daging yang diperlukan.

"Kita berharap penjual dan orang ramai dapat mengikut prosedur operasi standard ( SOP ) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia malah digalakkan jualan secara cash on delivery ( COD )," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 3:20 PM